Monday, July 17, 2006

hoki kampung

Petang, tahun 1988. aku dengan pendi berkejar-kejar ke padang. Tadi baru tengok pasukan hoki Malaysia main kat tv. Hoki.. permainan baru yang aku tengok dekat tv tadi aku nak tiru. Tapi.. aku tak ada kayu hoki. Yang ada, hanya sebiji bola tennis dah dah buruk. Bulu-bulu bola yang dulu bewarna hijau, dah jadi hitam. Kebanyakannya dah botak pun. Bulu-bulunya dah tertanggal. Ah, bukan aku beli pun. Aku jumpa bola tu pun tepi gelanggang tennis sekolah Sekolah Menengah Dato’ Mahmud. Siapa punya pun aku tatau. Dah tertinggal kat sana laa tu.

Ah, aku ada bawak parang.. terus aku cari perdu pokok senduduk yang banyak tumbuh di tepi padang depan rumah aku tu. Nampak macam perdu pokok tu agak bengkok dan besar, aku terus tebang. Aku buang daun-daun senduduk itu. Rantingnya pun aku buang. Yang tinggal hanya batang pokok dan perdunya. Nah.. cukup cantik untuk dibuat kayu hoki macam yang aku tengok tadi.

Untuk pendi, aku pun cari dan bagi satu. Dah cukup 2 kayu, tapi kami sepatutnya main hoki beramai-ramai. 2 orang mana cukup. Disebabkan tak cukup orang, kami main pukul-pukul sahaja. Maksudnya, aku pukul bola tu, dan bertanding siapa pukul paling kuat dan paling jauh bola itu boleh pergi. Mula-mula aku pukul. Agak jauh juga bola tu pergi. Aku ambil dan tanda tempat bola aku berhenti.

Sekarang, giliran pendi pula. Dia acu-acukan kayunya ke bola. Nak pastikan kayunya tepat pada bola. Dia dah betul-betul bersedia, dan aku berada di belakangnya. Pendi angkat kayu hokinya tinggi-tinggi. Shuuuuppppp… pukulannya tersasar. Tapi, kayu dia terus hinggap ke muka aku. Cukup kuat untuk membuat aku rasa berpinar-binar. Pukulan tu tepat ke bibir aku sebenarnya. Bibir aku terasa kebas. Aku pegang dan tengok. Darah!.... air mata aku terus bercucuran dan serentak dengan itu, aku berlari balik ke rumah sambil memegang bibir aku aku yang berdarah.

Sesampainya ke rumah dengan sedu-sedan tu, aku terus panggil mak aku. Mak aku terus meluru sambil memangku aku. Emak memang memang tak boleh tengok anak dia macam tu. Air mata dia sama laju dengan air mata aku. Sambil menangis emak tanyakan aku kenapa. Aku jawab dengan tersekat-sekat. Dipapahnya aku masuk ke rumah.

Abah dah start enjin kereta. Aku dikejarkan ke hospital. Masuk emergency room. Ah, tak banyak pun. 3 jahit aku kena. Esoknya, bibir aku bengkak macam negro. Ah.. menyesal aku. Tak mau main hoki lagi sampai bila-bila!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home